Perasmian Persidangan Perwakilan Tahunan PBTLDM Kali Ke -5

rasmimtg

Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya, 15 Jul -  Panglima Tentera Laut, YBhg Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Hj Jaafar TLDM telah merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan Persatuan Bekas TLDM (PBTLDM) kali ke – 5 bagi tahun 2012 di sini pagi ini.

Dalam majlis tersebut, Presiden PBTLDM YB Tuan Haji Onn Mohd Yasin telah mengiringi Panglima Tentera Laut sebagai wakil Yang Dipertuan Agong untuk menyampaikan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada wira tanah air bagi mengenang jasa dan pengorbanan mereka dalam TLDM. 

 

Di dalam ucapannya Panglima Tentera Laut berasa amat bangga dengan penggabungan persatuan-persatuan bekas TLDM di bawah satu persatuan dan berjaya menubuhkan cawangan di tiga belas negeri dan juga telah menubuhkan Koperasi Pesara TLDM (M) Berhad bagi membantu ahli-ahlinya dari segi sosio-ekonomi.  TLDM juga bertekad untuk menjaga segala perihal kebajikan TheNavy People, tidak kira yang masih berkhidmat mahupun yang telah bersara.


Objektif persatuan yang telah diberi perhatian dengan baik adalah dalam aspek menjaga kebajikan ahli yang berkaitan bantuan kewangan, pelajaran, perubatan, bencana dan kerjaya ia dilihat menerusi hubungan erat di antara persatuan dengan agensi dan jabatan berkaitan seperti Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM, PERHEBAT dan TLDM sendiri. 


Panglima Tentera Laut juga menegaskan bahawa peranan persatuan itu amat penting kerana ia menjadi tali penghubung di antara agensi-agensi berkenaan dengan bekas-bekas TLDM yang memerlukan.  Ia secara tidak langsung katanya, akan mewujudkan hubungan profesional di antara pesara dengan agensi terlibat selain dapat mengeratkan kembali hubungan silaturrahim yang telah terbina sejak sekian lama di kalangan ahli-ahli persatuan serta warga TLDM yang masih berkhidmat.


Selain itu, Panglima Tentera Laut turut menjelaskan bahawa perkembangan pesat TLDM kini adalah hasil peranan dan sumbangan yang dicurahkan oleh pesara-pesara TLDM semasa dalam perkhidmatan.  Sehubungan itu, ujar beliau, pesara-pesara TLDM seharusnya berbangga atas sumbangan yang telah diberikan.  Di samping itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada PBTLDM yang memainkan peranan dalam menjaga kebajikan pesara-pesara TLDM.  Ianya menepati misi persatuan untuk memastikan kebajikan ahli terpelihara dan setiap objektif persatuan tercapai.


TLDM telah melaksanakan beberapa inisiatif bagi menjaga kebajikan the Navy People.  Antaranya melalui Laman Web rasmi TLDM iaitu Navy.mil.my. yang membolehkan warga TLDM dan bekas warga TLDM berhubung terus dengan pihak pengurusan TLDM.  Melalui kemudahan ini, mereka boleh mendapatkan penerangan serta memberi maklum balas berhubung dengan TLDM dari kaca mata sebagai orang awam.


Lebih menarik, TLDM kini dalam proses mewujudkan Buku Daftar Pesara LLP TLDM untuk kemudahan rujukan para pesara yang boleh diperolehi melalui Bahagian Sumber Manusia, Markas Tentera Laut.

 

Rujukan : 160712/01
Sumber : Perhubungan Awam Markas Tentera Laut 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong> <font color="" face="" size=""> <span style="">